Ramai tiada dana kewangan untuk hari tua - Kajian
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Kajian Sikap Simpanan Pengguna Aviva 2008 yang dijalankan CIMB Aviva mendapati hanya 14 peratus daripada 1,000 responden yang terlibat memiliki dana kewangan mencukupi untuk bersara.
Menurut CIMB Aviva, meskipun 94 peratus daripada responden di Malaysia memiliki simpanan, 35 peratus insurans nyawa dan 23 peratus unit amanah tetapi jumlah itu tidak menterjemahkan mereka memiliki simpanan yang cukup untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diduga.
Situasi itu sekali gus menunjukkan aliran perkembangan yang membimbangkan terhadap persediaan kewangan di kalangan rakyat Malaysia, katanya.
CIMB Aviva berkata, berdasarkan kajian itu, sebanyak 53 peratus responden menyifatkan mereka perlu bekerja lebih daripada usia persaraan untuk memastikan mereka berupaya menjalani kehidupan yang selesa.
”Walaupun 63 peratus responden yang terlibat dalam kajian itu mengakui simpanan dan pelaburan merupakan kunci utama kepada persaraan yang selesa tetapi hanya 14 peratus yakin mereka mempunyai dana yang cukup menjelang persaraan.
”Manakala 64 peratus lagi melahirkan kebimbangan tidak memiliki dana yang mencukupi untuk bersara,” kata Pengarah Pemasaran CIMB Aviva Malaysia, Andi McLennan dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, berikutan itu CIMB Aviva akan meneruskan kempen dan pendidikan bagi pertumbuhan kewangan sementara memanfaatkan daripada ketentuan kritikal dalam modal dan perlindungan nyawa bagi pasaran Malaysia.
Bagi menyokongnya, CIMB Aviva telah melancarkan CIMB Islamic Market Select, sebuah dana perlindungan modal patuh syariah yang akan dilaburkan di 17 negara, termasuk negara membangun dan negara-negara ekonomi baru muncul seperti Amerika Syarikat (AS), Europah, Jepun, China, India, Malaysia, Russia, Brazil dan Vietnam.
McLennan berkata, pelabur dalam dana itu turut diberi perlindungan takaful dengan pembayaran maksimum 125 peratus bagi pelaburan tunggal sekiranya pelabur meninggal dunia sebelum pelaburan mereka matang.
Dengan CIMB Islamic Market Select, para pelabur juga boleh akses kepada pelbagai portfolio pelaburan global serendah RM25,000 dan ia memastikan modal mereka dilindungi sehingga matang.
CIMB Islamic Market Select memperuntukkan pulangan purata tahunan sebanyak 16.5 peratus dan 23.6 peratus bagi pelan pelaburan antara tiga dan lima tahun, iaitu potensi pulangan lebih tinggi daripada akaun simpanan tetap.





























